Mutiara Kata
YB DATUK ARTHUR JOSEPH KURUP
TIMBALAN MENTERI PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN
Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.
Tahniah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kerana dapat meraikan 234 orang pegawai MARDI yang dipilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) berdasarkan penilaian prestasi kerja yang cemerlang pada tahun 2024.
Di kesempatan ini, saya bagi pihak kerajaan dan Perkhidmatan Awam mengucapkan setinggi tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua penerima yang telah bersama-sama menyemai bakti sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai penjawat awam khususnya di MARDI. Semoga kejayaan ini akan dicontohi dan dijadikan sumber inspirasi kepada seluruh warga MARDI untuk terus bekerja dengan lebih progresif, dinamik dan efisien dalam merealisasikan hasrat MARDI sebagai sebuah institusi penyelidikan yang terunggul dalam bidang pertanian sekali gus menjamin keterjaminan makanan negara.
Selaras dengan misi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk mentransformasi sektor pertanian supaya menjadi sektor moden, dinamik dan kompetetif, MARDI sentiasa mencipta inovasi, membangunkan teknologi bagi industri pertanian dan agromakanan kerana menyedari peranan penyelidikan dan pembangunan industri makanan negara berikutan krisis global yang secara langsung telah menjejaskan keterjaminan makanan negara.
Di sini, saya ingin menekankan akan pentingnya peranan KPKM dan MARDI untuk mengenal pasti langkah mitigasi jangka panjang serta jangka pendek dalam usaha mengatasi kekurangan bekalan makanan apabila berlaku krisis pada masa akan datang. Kebergantungan yang tinggi kepada makanan import perlu diminimumkan dalam usaha mempertingkatkan sekuriti makanan dan menstabilkan harga bekalan. Oleh itu, sekuriti dan keterjaminan makanan negara perlu diteruskan dan diperkukuh melalui kerjasama pada peringkat persekutuan dan negeri berlandaskan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (2021 – 2025) dan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021 – 2030).
Akhir kata, saya berharap penerima anugerah akan lebih bersemangat untuk bekerja dengan lebih gigih, fokus dan komited kepada tugas yang diamanahkan. Kekalkan momentum kecemerlangan dan standard yang telah berjaya dicapai malah sentiasa berusaha meningkatkan lagi kecemerlangan. Saya berharap agar MARDI terus cemerlang sebagai institusi penyelidikan dengan mengutamakan keperluan rakyat dalam menyahut cabaran keterjaminan makanan negara.
Sekian, terima kasih.
