Kata Perutusan

DATO' DR. MOHAMAD ZABAWI BIN ABDUL GHANI
KETUA PENGARAH MARDI

Assalamualaikum w.b.t dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi atas limpah dan rahmat-Nya, Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 MARDI dapat diadakan pada hari ini. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung yang menyumbang tenaga bagi menjayakan Majlis APC pada tahun ini.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kerana telah menunjukkan prestasi yang amat baik pada tahun 2024. Selain daripada itu, tahniah juga kepada 234 orang penerima Anugerah Staf Cemerlang Bulanan peringkat MARDI bagi Tahun 2024. Majlis penganugerahan ini bukan sahaja merupakan manifestasi penghargaan dan pengiktirafan kepada mereka yang cemerlang malah perlu dilihat sebagai penyuntik semangat dan pencetus azam untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang khususnya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan di MARDI.

MARDI juga merakamkan penghargaan atas segala bakti serta pengorbanan yang telah dicurahkan oleh pesara MARDI sama ada bersara wajib, bersara pilihan, bersara atas faktor kesihatan ataupun meninggal dunia di dalam perkhidmatan. Sesungguhnya khidmat bakti tuan-tuan dan puan-puan amatlah tinggi nilainya.

Selain itu, MARDI turut merakamkan penghargaan MARDI kepada 31 orang pegawai yang telah berkhidmat dengan cemerlang dan penuh taat setia bersama MARDI untuk memastikan visi serta misi MARDI terlaksana. Sesungguhnya segala usaha, kudrat dan pengorbanan tuan/puan yang disumbangkan secara langsung mahupun tidak langsung telah membantu membangun dan mencorakkan MARDI hingga ke hari ini.

Besar harapan saya agar semua warga MARDI sentiasa membudayakan kreativiti dan inovasi bagi memastikan MARDI terus cemerlang sebagai peneraju institusi penyelidikan demi kemajuan pertanian dan keterjaminan makanan negara.


Tahniah dan selamat maju jaya.